The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS11 | Penang FC vs Selangor FC | 3 Mata Untuk #GergasiMerah!

Dec 08, 2025 - FAS

Selangor FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Bandaraya Pulau Pinang selepas menewaskan Penang FC 5-1 dalam saingan Liga Super 2025/26 semalam.

Perlawanan ke-11 ini berlangsung dalam keadaan penuh dramatik apabila aksi terhenti dua kali akibat masalah lampu limpah stadium. Sebanyak 28 minit masa tambahan diberikan di babak pertama, dan Selangor FC memanfaatkannya dengan cemerlang apabila menjaringkan tiga gol. Faisal Halim membuka tirai jaringan pada minit ke-26 hasil umpanan Chrigor Moraes, sebelum Picha Autra menambah gol pertamanya untuk kelab pada minit 45+5. Chrigor kemudian meledak gol ketiga menerusi hantaran Faisal pada minit 45+11. Penang FC merapatkan jurang pada minit 45+19 untuk menutup separuh masa pertama dengan kedudukan 1-3.

Memasuki separuh masa kedua, Chrigor Moraes terus menjadi watak utama dengan dua lagi jaringan, pada minit ke-59 selepas memintas hantaran ke belakang pertahanan lawan dan satu lagi pada minit ke-75 bagi melengkapkan hatrik keduanya bersama Merah Kuning. Kemenangan 5-1 ini mengekalkan Selangor FC di tangga keempat Liga Super 2025/26 dengan 19 mata, empat mata mendahului pasukan di tempat kelima.

Ketua Jurulatih SFC, Christophe Gamel, menyatakan rasa bangga dengan semangat serta komitmen yang dipamerkan para pemain, sambil mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Para pemain telah mengikut perancangan dengan baik. Saya melakukan sedikit rombakan barisan bagi memastikan setiap pemain dapat menyumbang dan kekal fokus sepanjang perlawanan. Walaupun keadaan pasukan tidak sepenuhnya ideal dengan kecederaan dan sebagainya, namun semangat dan tenaga yang mereka pamerkan sangat memberansangkan,” jelas Gamel.

“Ini merupakan satu kemenangan yang penting untuk pasukan, kita juga menjaringkan banyak gol walaupun saya kecewa sedikit dengan cara kita bolos. Beberapa keputusan yang kurang matang berlaku tetapi perkara ini boleh dijangka terutama dengan beberapa pemain muda dimainkan. Saya tetap bangga dengan para pemain kerana mereka telah bekerja keras dan berikan segala-galanya. Kita belum konsisten sepenuhnya dan saya akan mencari penyelesaian untuk itu dalam perlawanan akan datang,” tambahnya.

Seterusnya, Selangor FC akan berdepan Lion City Sailors FC bagi aksi terakhir Kumpulan G saingan AFC ACLTWO 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 8:15 malam.

Pihak pengurusan Selangor FC turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong yang hadir di Stadium Bandaraya Pulau Pinang untuk terus berjuang bersama para pemain Merah Kuning. Semangat anda amat kami hargai.

Demi Kebanggaan!